Kehidupan peribadi Umie Aida

Umie Aida ialah adik kepada aktres dan pengarah tersohor Erma Fatima serta adik ipar kepada pengarah Badaruddin Azmi. Seorang lagi adiknya, Betty Rahmad juga pernah menceburi bidang lakonan tetapi tidak sepenuh masa. Betty banyak menguruskan kerjaya seni Umie disamping membuka perniagaan bersama. Ketika berusia 20 tahun, Umie mengambil anak angkat lelaki bernama mohd Daniel Firdaus (lahir 1993) & Mohd Dzulhelmy (lahir 1994) setahun kemudian.[3] Umie juga merupakan rakan rapat kepada Primadona Filem Melayu Alaf Baru, Erra Fazira yang juga rakan persekolahannya serta aktres Nasha Aziz, Effa Ismail, Nor Aliah Lee dan Zahida Rafik.[4]

Sejak mula menceburkan diri dalam bidang perfileman, nama Umie tidak lekang daripada gossip percintaan. Pada era 90an, Umie dikaitkan dengan penyampai TV dengan aktor berkarektor Sidi Oraza dan penerbit Mohd Nor Kadir yang banyak menggilap bakatnya ketika Umie aktif berlakon untuk drama-drama terbitan Kuasatek. Paling meraih perhatian media dan peminat adalah ketika Umie menjalinkan hubungan dengan aktor popular Hairie Othman ketika berada di kemuncak populariti sekitar akhir 90an, dan kemudian bersama aktor muda Aqasha. Kisah putus cinta Umie dan Hairie pernah menggemparkan media massa ketika itu dimana Aqasha dikaitkan sebagai punca.

Akhirnya pada 29 September 2009 Umie mengambil keputusan untuk mengingat tali pertunangan dengan usahawan terkemuka Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang sembilan tahun lebih tua darinya dan seterusnya berkahwin pada 14 Mac 2010 di hadapan Kaabah, Masjidil Haram Mekah. Pernikahan dan perkahwinan ini mendapat liputan meluas media termasuk majlis resepsinya yang berlangsung di One World Hotel, Bandar Utama. Majlis tersebut turut dihadiri pembesar negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad dan isteri serta ramai artis-artis nama besar tanah air. Khairuddin yang pada mulanya hanya rakan perniagaan Erma Fatima, sebelum diperkenalkan dengan Umie. Beliau juga merupakan sepupu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim.[5]

Beberapa pihak nyata tidak berpuas hati dengan pemilihan busana pengantin Umie yang dicipta khas oleh pereka Jovian Mandagie. Gaun pengantin yang mendedahkan bahagian bahu dan dada itu dikritik hangat kerana tidak bersesuaian dengan status Umie yang baru saja melangsungkan majlis pernikahan di Mekah. Setelah mendirikan rumahtangga, Umie menjadi lebih selektif dalam kerjayanya kerana mahu memberi fokus kepada rumahtangganya bersama Khairuddin dan anak-anaknya Daniel dan Dzul serta dua orang anak tiri (hasil perkahwinan Khairuddin terdahulu).

Pada penghujung tahun 2013, Umie membayangkan hasrat untuk bersara dari bidang lakonan setelah diasak dengan kontroversi pergolakan rumahtangganya. Namun menjelang bulan Ramadan tahun 2014, beliau dan suami dilihat kembali bersama. Umie juga mula mengenakan tudung secara sepenuh masa.